Ticker

6/recent/ticker-posts

Tentang Kami

Bandar Muar (sebutan dalam loghat tempatanMuoJawi: بندر موار) juga dikenali secara rasmi sebagai Bandar Maharani (Jawi: بندر مها راني), merupakan sebuah bandar di daerah yang senama di utara JohorMalaysia. Ia merupakan bandar diraja bagi negeri Johor. Bandar ini terletak di tebing selatan muara Sungai Muar, bertentangan dengan Tanjung Agas di Daerah Tangkak.

Pengisytiharaan Bandar Maharani sebagai bandar diraja bagi Johor telah disempurnakan oleh Sultan JohorSultan Ibrahim pada 5 Februari 2012.[3]

Ia mempunyai penduduk seramai 110,000 dan dibuka sekitar 1884.

Etimologi

Perkataan ‘Muar’ dipercayai berasal daripada perkataan muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu muna dan ‘ar yang masing-masing bermaksud tiga dan sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.[perlu rujukan]

Bandar Maharani, iaitu nama rasmi bagi bandar ini, adalah bersempena gelaran isteri kepada Sultan Abu Bakar, Sultanah Fatimah Abdullah, iaitu Maharani.

Sejarah

Muar kaya dengan sejarah tetapi disebabkan ketiadaan catatan sejarah yang sempurna dan bukti-bukti arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Kesultanan Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara, pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.[4] Muar juga adalah tempat terletaknya satu-satunya makam kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah (1477–1488). Makam kesultanan Melaka yang lain telah dibinasakan dengan kejam oleh Portugis semasa penaklukan mereka ke atas Melaka. Muar turut memainkan peranan penting buat Sultan Melaka ketika itu dalam mengekang kemaraan tentera Portugis pada tahun 1511. Bagi menangani serangan armada Portugis, Kubu Bentayan telah dibina oleh Sultan Melaka untuk mematahkan serangan dari arah laut.

Muar di era Portugis juga menempatkan sebuah kubu iaitu ‘Fortaleza de Muar’ bagi mempertahankan koloni Portugis daripada serangan Belanda dan Aceh.

Muar adalah bandar diraja di barat laut negeri Johor. Ia pernah menjadi sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali Iskandar Shah dalam masa yang singkat (1855–1877), apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar dan Kesang) telah diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali Iskandar Shah. Sultan Ali adalah pewaris sebenar Kesultanan Johor tetapi kelemahan baginda telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggung. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor. Pada awal tahun 1884 Maharaja Abu Bakar telah menitah Muhammad Salleh bin Perang, Dato' Bentara Luar Johor untuk membuka bandar Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama ini diberikan oleh Maharaja Abu Bakar.

Kereta Api Kerajaan Muar

Muar adalah satu-satunya bandar di Malaysia yang mempunyai sistem jaringan kereta apinya yang tersendiri di masa lampau yang dikenali sebagai Kereta Api Kerajaan Muar (Muar State Railways) atau MSR, beroperasi hanya 4 tahun selepas landasan kereta api pertama di negara ini di antara Taiping dan Port Weld dibuka pada 1885. Sistem kereta api ini wujud dari tahun 1889 hingga 1925, menghubungkan Jalan Sulaiman di Bandar Maharani dan Sungai Pulai pada jarak 22.5 km. Berdasarkan ciri-cirinya sebagai kereta api ringan tempatan, ia adalah terasing daripada jaringan kereta api di tanah Melayu pada waktu itu tetapi terdapat perancangan untuk memanjangkan landasan sehingga ke Batu Pahat pada 1916. Walau bagaimanapun, projek tersebut tidak dilaksanakan ekoran halangan geografi dan kewangan.

Perkhidmatan kereta api ini adalah menguntungkan dan telah memudahkan pergerakan penduduk serta barangan di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui pembukaan ladang-ladang kelapa di sepanjang koridor rel. Walau bagaimanapun, kepentingannya telah menurun apabila Jalan Abdul Rahman yang menghubungkan Bandar Maharani dan Parit Jawa dibuka pada 1918. Tambahan pula, penyelenggaraan terhadap infrastruktur yang usang adalah terhad. Landasan sering terabai sehingga sistem perparitan yang tidak terurus telah merosakkan tapak landasan. Selain itu, ketiadaan batu balas di dalam pembinaan landasan telah mempercepatkan kadar kerosakan landasan di mana mendapan tanah sering berlaku dan mengakibatkan beberapa kegelinciran. Peruntukan kewangan yang besar adalah diperlukan untuk membaikpulih sistem kereta api ini. Dibebani dengan masalah kewangan dan kemerosotan populariti, kegemilangan MSR selama 36 tahun berakhir pada tahun 1925. Kesan landasan telah hilang apabila tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Lokomotif MSR yang dipamerkan di Taman Tanjung Emas adalah satu-satunya tinggalan warisan yang membuktikan kewujudan MSR di masa silam. Dipercayai juga lokomotif tersebut adalah yang tertua di negara ini yang masih berkeadaan baik memandangkan lokomotif wap yang dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur adalah dari model yang lebih baru. Memandangkan Muar tidak pernah menjadi ibu negeri atau bandar terbesar di Johor, kewujudan rangkaian kereta api eksklusif di Muar setanding dengan sistem LRT pada hari ini, satu kemudahan yang malahan ibukota Kuala Lumpur tidak memilikinya pada waktu itu, ia adalah pencapaian yang menakjubkan buat Muar di era tersebut.

Geografi

Pemandangan bandar Muar dan muara Sungai Muar dari udara

Bandar Muar terletak pada 2°3′U 102°34′T, di muara Sungai Muar. Bandar ini berada pada kedudukan 150 km (93 batu) ke barat daya ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dan 50 km ke utara Batu Pahat.

Iklim

Iklim di bandar ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[5] Purata suhu ialah 26.84 °C (80.3 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27.6 °C (81.7 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.1 °C (79.0 °F).[5] Purata kerpasan di Muar adalah 2286.8 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 330.4 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 110.6 milimeter.[5]

Catat Ulasan

0 Ulasan